Cicak ekor bercabang manja


KUALA LUMPUR: Seorang peniaga nasi campur di Pantai Dalam di sini menemui seekor cicak berekor cabang dijadikan haiwan peliharaan keluarga.

Wan Azhar Wan Mahmodd, 45, berkata cicak berekor cabang dua itu pelik kerana seakan tidak mahu meninggalkan keluarganya walaupun pernah terlepas.

“Saya terjumpa cicak itu awal Januari lalu di kawasan Petaling Jaya.

Ketika itu malam dan saya sememangnya melastik cicak untuk diberi makan kepada ikan kelisa peliharaan.

“Bagaimanapun, ketika hendak melastik cicak itu, saya pelik melihat ekornya yang bercabang,” katanya, di sini, semalam. Wan Azhar berkata, haiwan itu dilastik perlahan agar tidak cedera kerana menganggap cicak itu unik. “Saya membawanya pulang dan memeliharanya.

Cicak itu manja dan enggan pergi walaupun terlepas.

Saya memberinya makan lalat, serangga atau anak lipas,” katanya. Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Seri Tamyes Abd Wahid ketika dihubungi berkata, tiada perkara aneh dan pelik berlaku di muka bumi ini sekiranya kita sentiasa berpegang kepada kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t.

“Mengikut tuntutan Islam, cicak antara tiga haiwan patut dibunuh selain tikus dan gagak.

Oleh itu, tidak wajar dibela,” katanya.


HMO

George anjing tertinggi di dunia


TUSCON, Amerika Syarikat - Seekor anjing jenis Great Dane di sini, dipercayai menjadi anjing tertinggi di dunia, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Anjing gergasi bernama George itu setinggi 1.09 meter dan memiliki berat 111 kilogram serta panjang 2.2 meter.

Pemilik anjing jinak itu iaitu pasangan suami isteri David dan Christine Nasser berkata, mereka sedang menanti pengesahan Guinness World Records mengenainya.

Rekod kategori tersebut sebelum ini dipegang seekor anjing bernama Gibson yang memiliki ketinggian 1.07 meter. - Agensi

Monyet bercinta dengan ayam betina


LUMAJANG - Seekor monyet di Desa Pasirian di sini 'jatuh cinta' pada seekor ayam betina sehingga menjadi tumpuan penduduk kampung, lapor sebuah akhbar semalam.

Monyet itu dilihat memeluk dan mencium ayam kampung kesayangannya dengan penuh mesra.

Menurut pemilik monyet dan ayam itu, Ali Murtadi, kisah cinta unik antara kedua-dua haiwan tersebut berlaku sejak setahun lalu.

Dia berkata, monyet miliknya itu ditemui dari kawasan lereng di Gunung Semeru sebelum dipelihara dan dikurung dalam kandang di bawah pokok mempelam dekat rumahnya.

Pada awalnya, haiwan itu liar namun setelah sebulan dipelihara, ia menjadi jinak.

"Saya terkejut apabila melihat ayam milik saya sering tidur bersama monyet. Namun, kini ia tidak lagi menjadi masalah," kata Ali.

Kadangkala monyet itu menunjukkan kebolehannya menari dengan menggoyang-goyangkan badan menyebabkan ayam tersebut datang padanya.

Semasa ayam datang, monyet tersebut menyambut kekasihnya dengan pelukan dan ciuman mesra.

Aksi monyet dan ayam itu menjadi tumpuan ramai penduduk kampung apabila mereka sanggup datang untuk melihat 'percintaan' antara kedua-dua haiwan itu selepas berita mengenainya tersebar.

Semasa monyet dan haiwan itu 'berkasih-kasihan,' penduduk kampung yang melihatnya akan tertawa. - Agensi

Budak enam tahun tarik kereta Mercedes E240


KLANG - Biarpun baru berusia enam tahun, seorang kanak-kanak lelaki sudah digelar hero apabila mampu menarik sebuah kereta jenis Mercedes Benz E240 yang dinaiki empat lelaki dewasa dengan berat keseluruhan 1,955 kilogram sejauh 120 meter dalam masa dua minit.

Kejayaan T. Santosperumal (gambar kecil) menarik beban yang hampir 56 kali ganda berat badannya dengan hanya satu lilitan tali di pinggang berjaya dicatatkan sebagai rekod baru dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Sebaik berjaya sampai ke garisan penamat, anak sulung daripada empat adik beradik itu sempat melaungkan 'Satu Malaysia' sambil melompat kegembiraan.

Santosperumal ketika ditemui menyatakan dia berasa gembira kerana berjaya menarik kereta tersebut walaupun tidak menjalani latihan harian.

"Selepas ini, saya mahu tarik kapal terbang," katanya pada sidang akhbar di premis besi buruk milik bapanya, N. Thiagu, 42, di Kampung Jawa di sini semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah turut hadir menyaksikan percubaan kanak-kanak itu.

Ibu terkecil di dunia dapat cahaya mata


CINCINNATI, Amerika Syarikat (AS) - Ibu terkecil di dunia, Stacey Herald selamat melahirkan anak ketiganya, Malachi lapor sebuah akhbar semalam.

Sebelum ini, doktor memberi amaran kepada Stacey yang tingginya 0.7 meter mengenai risiko baginya untuk mengandung dan melahirkan anak kerana tubuhnya yang kecil.

Bagaimanapun, ibu berusia 35 tahun itu nekad untuk berkeluarga dan telah melahirkan dua anak perempuan Kateri dan Makya masing-masing berumur tiga tahun dan 18 bulan sebelum memperoleh bayi ketiganya.

Dia berkahwin dengan lelaki yang mempunyai ketinggian 1.7 meter iaitu Will Herald, 27.

Bayi lelaki yang baru dilahirkannya itu memiliki berat cuma 0.9 kilogram.

Bayi itu dilahirkan lapan minggu lebih awal menerusi pembedahan caesarean di sebuah hospital di sini pada 28 November lalu.

Herald terpaksa menggunakan kerusi roda kerana menghidap penyakit ganjil genetik, Osteogenesis Imperfecta yang menyebabkan tulang rapuh dan paru-parunya cacat selain merencatkan tumbesarannya. - Agensi

Surat paling mahal RM10.8j


SEPUCUK surat yang ditulis sendiri oleh presiden pertama Amerika Syarikat (AS), George Washington dilelong pada harga AS$.32 juta (RM10.8 juta), sekali gus mencipta rekod dunia baru.

Acara berlangsung di Christie kelmarin memecah rekod surat paling mahal sebelum ini yang juga ditulis oleh Washington, dan dilelong pada 2002 lalu dengan harga AS$834,000 (RM2.8 juta).

Surat itu ditulis Washington pada 1787 kepada seorang sepupunya yang meminta pengesahan berhubung draf perlembagaan baru bagi pengisytiharan kemerdekaan AS.

Namun agensi lelongan Christie tidak mendedahkan identiti pembida yang berjaya memperoleh warkah bersejarah itu. - AP

Makan kedondong dapat bayi gergasi


CHANGLUN - Percaya atau tidak, dengan mengamalkan memakan buah kedondong setiap hari sewaktu mengandung, seseorang ibu mungkin melahirkan bayi dengan berat yang luar biasa.

Itulah apa yang berlaku ke atas Aisha Bee Yasin, 35, yang melahirkan bayi seberat 6.15 kilogram (kg) kelmarin.

Bayi lelaki yang dilahirkan secara normal di sebuah pusat perubatan swasta di sini pada pukul 1.15 pagi itu dipercayai antara bayi terbesar pernah dilahirkan di Malaysia.

Aisha Bee yang berasal dari Air Hitam, Pulau Pinang bukan setakat menjamah sebiji buah kedondong. Setiap hari dia memakan sekilogram kedondong selain memakan dua kuntum bunga ros merah bermula daribulan kedua kehamilan.

"Saya tidak makan nasi kecuali nasi lemak. Selain kedondong dan bunga ros, saya makan roti dan minum susu. Adakalanya saya menjamah laksa atau tosai.

"Rutin saya setiap hari ialah makan kedondong dan bunga ros. Ahli keluarga lain tidak boleh sentuh buah itu, saya seorang sahaja yang makan," katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Pekan Lama, Kampung Baru di sini semalam.

Aisha Bee, seorang suri rumah, memberitahu, sebelum ini sepanjang mengandung empat anaknya yang lain, dia mengidamkan timun dan lobak tetapi kali ini makanan itu langsung tidak disentuh.

Katanya, bunga ros mudah dibelinya di sekitar Changlun tetapi buah kedondong terpaksa dibeli oleh suaminya, Mohd. Ali Khan Razali, 41, di Alor Setar dan Pulau Pinang.

Tambahnya, mengikut sejarah, keluarganya tidak pernah melahirkan bayi sebesar itu kecuali anak keempatnya, Nur Hasyimah yang seberat 5kg ketika dilahirkan.