Kipas tanpa bilah dicipta


LONDON - Pencipta dari Britain yang menghasilkan pembersih vakum tanpa beg, Sir James Dyson kini memperkenalkan peralatan rumah terbaru rekaannya iaitu kipas angin elektrik tanpa bilah, lapor sebuah akhbar semalam.

Semasa melancarkan produk tersebut di sini pada Ahad lepas, Dyson berkata, kipas tersebut yang dinamakan Dyson Air Multiplier mampu menghasilkan angin yang kuat.

Menurutnya, dia mendapat idea untuk mencipta kipas itu selepas meneliti alat pengering tangan yang menyedut banyak angin di sekitarnya.

Dyson berkata, selain senyap, produk itu juga lebih selamat berbanding kipas angin biasa kerana ia tidak mempunyai bilah yang boleh mencederakan jari jika disentuh oleh kanak-kanak.

Ia berfungsi dengan menolak udara sehingga mencecah kelajuan 35.2 kilometer sejam melalui bukaan kecil selebar 1.3 milimeter di sekelilingnya

Kipas angin berharga £199 (RM1,066) itu mula dijual di beberapa kedai utama di sini.

Dianggarkan memiliki kekayaan mencecah £500 juta (RM2.6 bilion) Dyson, 62, muncul sebagai pereka terbaik Britain susulan kejayaannya mencipta pembersih vakum tanpa beg yang direkanya sekitar tahun 1990-an.

0 comments: